EPILOG CINTA


Aku bersendirian dikamar yang indah ini

dengan hamparan sungai-sungai permata,

berdindingkan bukit-bukau menghijau,

bertemankan tasbih dan kitab suci.

Lalu aku ukir pada taman hati ini

zikir-zikir dan munajat

untuk renungan mereka yang halus hatinya

dan dekat hatinya pada Allah.


Sejauh mana pun kita terbang,

namun sebenarnya hanya bersandar pada Dia

kita dapat melihat kalbu-kalbu bersayap riang

dikerumuni pohon-pohon zaitun yang manis rasanya.

Di situ wujud diri adalah seikhlas hati

dalam menerangi insan-insan lain

dalam melihat kewujudan Maha Suci Allah.


Dari situ kita bongkar rahsia-rahsia

dalam sujudyang penuh kusyuk

lalu disampaikan hajat dan mengadu keluhan hati

yang tidak terjangkau oleh akal manusia ini.

Tatkala itu, kalbu-kalbu mula terasa rindu

pada dia yang kekal abadi.

Suara-suara hati kita mula berasa

getarakan sulaman cinta bersama-Nya.

Zikir-zikir kasih berbaris-baris tunduk

dan sujud pada Allah,

lalu perasaan hati kita tenang

setenang tujuh lautan yang berdiri diatas Zat-Nya.


Dimalam yang barakah yang penuh barakah itu,

titipkan hati ini pada kalam-kalam Allah

dan pujian itu adalah pada-Nya.

Lalu kita puji Muhamad

kerana dia lah kekasih Allah

dan Muhamad itu menyimpan rahsia-rahsia Allah.

Tangisan yang menyapa pipi

dikala berzikir memberi pengakuan

kecintaan ini pada Allah.

Lalu kita rasa sungguh terharu,

kenapa perlu bongkak

sedangkan pada Dia wujudnya diri kita

Lalu sedalam-dalam taubat itu kita luhurkan

pada nadi-nadi yang bersuara

didinding dosa yang mohon keampunan.

Pada malam itu, kita bersedia

dan terus bersedia mengabdikan diri pada Allah.


Dipersinggahan bulan yang mulia

yang datang sekejap cuma,

terasa amat cepat.

Terkejar-kejar hati ini

berdansa memegang raut wajah-Nya

tatkala pintu-pintu langit itu terbuka.

Betapa rindunya hati ini pada Dia.

Dia yang meliputi segalanya.

Aku cinta pada-Mu

Izinkan aku mendakap keagungan-Mu

Benarkan lah aku menyampaikan berita gembira

pada mereka yang lupa pada-Mu.

Entah esok atau lusa aku fana dalam dakapan-Mu.

Allahuakhabar…. Allahuakhbar… Allahuakhabar……

Jangan engkau tutup pandangan itu.

Lihat lah aku. Lihat lah aku ada disini.

Bukakanlah hijab itu.

Dinding Sirr yang memberi aku

pandangan makrifat-Mu…..


Dalam tangisan yang tidak bersuara

kita berjanji pada-Nya.

Tangisan yang jatuh

dari helai-helai keinsafan berguguran

di atas sungai kudus.

Lalu diangkat ke langit disemai

dengan zikir-zikir kudus

dan disiram bersama daun-daun pelangi.

Lalu hati kita mula rasa tunduk

dan tunduk pada-Nya.

Sejahat mana pun kita, keampunan itu senantiasa ada.

Maka kita tadah tangan berdoa

seraya merebah diri mengaku Dia lah ALLAH.

Maha Suci Allah. Lihat lah Dia,

kerana Dia dekat dan sedekat urat leher kita.

Dalam kita menuruni lembah-lembah duka,

kita bingkas bangun dan berdoa

kerana Dia senantiasa mendengar

keluhan hati orang-orang yang mukmin.

Pohonlah wahai sahabat-sahabatku…..

dan katakanlah kamu kenal Dia!!

azhar a.k.a curasimanjakini

(esasterawan.com)

Posted in Puisi. Tags: , , , . 1 Comment »